Tukaran asing membolehkan peniagaan dijalankan di
antara negara-negara yang menggunakan lain-lain matawang, oleh itu merupakan
satu aspek yang kritikal dalam bidang perniagaan antarabangsa. Tukaran boleh
dilakukan dengan menggunakan kadar semasa atau kadar ke hadapan. Ia berlangsung
dalam sebuah pasaran yang berstruktur longgar tetapi masih dikawal oleh bank
pusat negara-negara yang terbabit.
Aktiviti perniagaan antarabangsa yang semakin pesat menyebabkan tukaran
asing kini merupakan satu bentuk urusniaga yang bernilai bertrillion USD. Dalam
mengembangkan perniagaan di arena antarabangsa, syarikat-syarikat biasanya
menggunakan sumber modal dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh
pelbagai pasaran kewangan antarabangsa. Setiap pasaran ini kian berkembang
disebabkan faktor-faktor penggalak seperti kemajuan teknologi perhubungan.
Pasaran kewangan antarabangsa biasanya diceburi oleh syarikat multinasiaonal
yang besar. Ini adalah kerana pelabur akan hanya melabur atau memberi pinjaman
kepada syarikat yang mempunyai reputasi sebagai syarikat yang kukuh dan
terkenal. Untuk mencapai kedudukan
tersebut memerlukan usaha dan masa. Kadang-kadang perbelanjaan yang tinggi juga
perlu dibiayai dengan mengadakan lawatan ke pasaran antarabangsa untuk memberi
taklimat kepada pelabur asing tentang syarikat, aktivitinya dan masa
depannya. Apabila kedudukan tersebut
dicapai, maka syarikat akan mendapat manfaat yang banyak kerana akan mempunyai
sumber kewangan yang lebih besar daripada luar negeri.
No comments:
Post a Comment